TENOM: Jangan lagi ditipu buat kali kedua pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN-17) seperti tindakan sembilan ADUN Sabah yang tidak sehaluan dengan kepimpinan Barisan Naional (BN) selepas menang PRN16 lalu.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua jentera parti agar tetap berjuang bersama-sama membantu kemenangan BN pada PRN17 akan datang.
“Cukuplah jangan tipu dua kali. UMNO BN Sabah kali ini kita mesti lebih bijaksana untuk menentukan undi kita, lima dan empat kena tipu Datuk Seri Bung jangan tertipu buat kali kedua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan program Gerak17 Dewan Undangan Negeri (DUN) N.43 Kemabong, di Dewan Sri Ontoros Kemabong, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi BN Sabah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bersama barisan kepimpinan serta komponen BN bahagian, negeri dan pusat.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mengingatkan ahlinya agar mengetepikan perbezaan demi kemenangan PRN17 dan mengambil pengajaran PRN16 lalu yang berlaku perpecahan dalam parti.
“Kita pun ada Datuk Rahman Dahalan (Timbalan Ketua UMNO Sabah) tolong Datuk Seri Bung kalau semua pemimin bersatu hati tidak berbeda pendapat saya yakin kali ini Sabah akan bekerjasama dengan Putrajaya,” katanya.
Pada 21 Februari 2023, lima Ahli ADUN BN, UMNO Sabah mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta dan kini menjadi ADUN Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS).
Mereka ialah Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin); Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit); Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk); Datuk Hamid Awang (Balung) dan Datuk James Ratib (Sugut).
Manakalah tiga lagi ADUN masih kekal sebagai ADUN BN menyokong Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah, masing-masing memegang jawatan dalam kabinet negeri.
Mereka terdiri daripada Timbalan Ketua Menteri III Sabah yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat); Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Harun Durabi (Bengkoka) dan Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (Tanjong Batu).
Manakala satu lagi kerusi kosong ketika ini berikutan ADUN BN iaitu Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Mohd Hamsan Awang Supain meninggal dunia pada 19 Januari lalu.
Daripada 73 kerusi DUN Sabah, BN Sabah memenangi 16 kerusi pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-16 (PRN-16) lalu.
Namun kini komposisi itu berubah menjadikan tujuh ADUN BN sebagai pembangkang, dua ADUN BN dilantik dan tiga ADUN BN sebagai kerajaan dengan jumlah keseluruhan 12 ADUN BN di dalam DUN ketika ini.
