Jangan Berpolitik Sepanjang Masa, Yang Penting Bela Rakyat – Andy

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Andi Muhammad Suryady Bandy mengharapkan pimpinan politik di Sabah bersatu hati untuk bekerja sebagai satu pasukan dalam usaha membangunkan negeri.

Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu itu, walaupun Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sudah berlalu namun kerajaan negeri harus membangunkan ekonomi negeri yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

“PRN-16 sudahpun berlalu, kini adalah masa bagi kerajaan yang dibentuk untuk membangunkan negeri ini, lebih-lebih lagi dengan cabaran kita menghadapi gelombang pandemik COVID-19. Isu-isu ekonomi juga masih banyak yang perlu ditangani.

“Adalah tidak wajar kita asyik berpolitik sepanjang masa, sedangkan tanggungjawab utama kita adalah membela untung nasib rakyat,” katanya dalam satu catatan di Facebook.

Tambah Andy lagi, beliau menggesa agar ahli-ahli politik jangan berpolitik sepanjang masa dan yang penting haruslah menjaga kebajikan rakyat.

“Secara peribadi, saya berpandangan ADUN Lantikan dari wakil PAS ke dalam Kabinet Negeri Sabah bukanlah satu isu yang besar untuk diperdebatkan,” katanya lagi.

Terdahulu, Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakhbar Gulasan adalah antara empat ahli politik yang telah diangkat sebagai ADUN Dilantik dalam senarai kabinet Sabah.

You might also like