PRK Batu Sapi: BN Utamakan Kesejahteraan Rakyat, Enggan Terikut ‘Political Desicion’ Warisan – Noraslina

KUALA LUMPUR, 9 Okt. – Barisan Nasional (BN) telah mengambil keputusan yang tepat apabila tidak menyertai Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi lantaran memikirkan keutamaan untuk keselamatan dan kesejahteraan rakyat, tegas Exco Wanita UMNO, Datuk Noraslina Zainal Abidin.

Katanya, pengumuman yang dibuat oleh Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam adalah sesuatu yang amat tepat dengan mengambil kira situasi terkini pandemik COVID-19.

“Betul, PRK Ini akan beri peluang untuk kita memperkukuh kedudukan kerusi-kerusi kita di Parlimen tapi kepentingan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat mesti menjadi keutamaan.

“Kita dah saksikan sendiri keputusan kerajaan Warisan untuk bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah adalah ‘political decision’ semata-mata untuk kelangsungan tampuk kuasa Warisan tanpa memikirkan kesan kepada rakyat Sabah khasnya,” kata beliau kepada UMNO Online.

Dalam hal ini, beliau memaklumkan bahawa keputusan tidak meletakkan calon BN untuk bertanding dalam PRK juga bukan satu perkara baru kerana sebelum ini pun keputusan sedemikian pernah dibuat sebagaimana di PRK Penanti (2009) dan PRK Port Dickson (2018) yang berlaku akibat kepentingan politik pihak tertentu.

“Keprihatinan dan kepekaan BN terhadap permasalahan dan keperluan rakyat mesti jadi keutamaan.

“Fokus parti-parti politik terutama kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga mestilah ke arah menangani jumlah peningkatan kes COVID-19 yang semestinya memerlukan tumpuan khusus untuk pemulihan ekonomi Sabah dan kesejahteraan hidup norma baru warganya,” katanya lagi yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Sembrong.

Dilaporkan, Dewan Rakyat Isnin lalu telah mengemukakan pemberitahuan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P. 185 Batu Sapi, Sabah berikutan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Keong.

Sehubungan itu, semalam BN adalam satu kenyataan media memaklumkan tidak sertai PRK Batu Sapi demi kesejahteraan rakyat, elak COVID-19 menular.

You might also like