UMNO Sabah Hormati Demokrasi, Redha Keputusan… Enggan Jadi Pembangkang – Bung Moktar

0

KOTA KINABALU, 28 Sept. – UMNO Sabah menghormati demokrasi bahawa parti yang menang banyak kerusi perlu menjadi ketua menteri selain turut menghormati permintaan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang enggan menjadi pembangkang, kata ketuanya Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Ujarnya, walaupun beliau selaku Ketua UMNO Sabah tidak berapa gembira dengan kemenangan BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabah Sabtu lalu.

“Tetapi saya redha dan terima ketentuan Allah dengan hanya 14 Kerusi saja yang dimenangi disebabkan beberapa faktor yang kita semua fahami.

“Saya juga ingin memaklumkan berkenaan jawatan ketua menteri, UMNO Sabah telah menghantar cadangan ketua menteri kepada TYT Sabah semalam, tetapi memandangkan BN hanya menang 14 kerusi manakala PN Plus menang 23 kerusi, pihak kita terpaksa menghormati demokrasi parti yang menang banyak kerusi perlu menjadi ketua menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau turut hadir dalam sidang media Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menamakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah Datuk Hajiji Noor sebagai calon Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Bung Moktar turut meminta agar mana-mana pihak tidak menyalahkan Presiden UMNO atas apa-apa hal yang berlaku.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Presiden yang telah bertungkus-lumus dari awal kempen dan sentiasa berkomunikasi dengan saya dan Naib-Naib Presiden dan serta SUA-SUA di sini yang menyokong saya untuk menjadi Ketua Menteri Sabah sehingga saat-saat akhir tetapi saya terpaksa menerima keputusan ini atas permintaan UMNO Sabah.

“Saya harap rakan semua tidak menyalahkan Presiden atau mana-mana pihak di atas perkara yang berlaku. Saya mengambil tanggungjawab atas apa yang berlaku di Sabah.”

“UMNO Sabah tidak akan kemana tanpa bantuan Presiden dan rakan-rakan yang lain dan marilah kita bersama-sama fokus PRU-15 yang sudah hampir.

Sebelum itu, Bung Moktar menzahirkan penghargaan dan berterima kasih atas bantuan dan kerja kuat jentera seluruh Malaysia yang membantu UMNO Sabah sepanjang PRN Sabah. 

Leave A Reply

Your email address will not be published.