Luahan Penghuni Rumah Kontena: Mana Rumah Kami? Kami Manusia, Bukan Binatang


BATU SAPI, 14 Sept – Mana rumah kami… kami sudah cukup tersiksa tinggal dalam kontena, kami bukan binatang, kami bukan pendatang asing, kami adalah pengundi di Negeri Sabah… itu adalah antara luahan mangsa kebakaran rumah di Kampung Gas, Batu Sapi.

Sejak kediaman mereka terbakar pada tahun 2018, sehingga kini mereka tinggal dalam kontena iaitu penempatan sementara yang dijanjikan hanya enam bulan namun kini menjadi kediaman tetap mereka.

Bagi Jainah Mustafa, 53, kehidupan dalam kontena terlaku siksa namun kerana tiada pilihan mereka terpaksa telan segala keperitan.

“Terlalu siksa, kami tidak dihargai oleh kerajaan, Bayangkan keadaan kami, kami bukan pelarian, kami adalah pengundi, orang tempatan. Tolonglah bantu kami…

“Jangan pentingkan kami hanya masa undi, cari kami masa mahu undi, bila habis undi, senyap… buang kami begitu sahaja. Mana janji Warisan dulu? Warisan janji Sabah nak ubah tapi sekarang sudah dua tahun mana ada ubah apa-apa… muka pun tidak muncul, tidak tengok keadaan kami, kami bukan binatang mahu disimpan dalam kontena.

“Masa zaman UMNO dulu banyak mereka tolong kami, bila Warisan ambil alih, kami tidak dipeduli,” luah beliau dengan linangan air mata.

Farizah Al Waris 42, mencabar pemimpin kerajaan untuk cuba tinggal di rumah kontena ini malah dirinya yakin, mereka tidak akan sanggup untuk bertahan walaupun sehari.

“Kalau kerajaan tidak mampu buat rumah untuk kami, buatkan kami jambatan dan kami boleh buat rumah sendiri. Kerajaan cuma beri kayu dan zink, itu sudah cukup. Bukan kami mahu rumah besar, janji kami tidak tinggal di kontena ini lagi. Selagi tidak ada jambatan kami tidak boleh buat rumah. Kami sudah sukup tersiksa, dua tahun seperti kena panggang dalam oven.

“Tengoklah keadaan kontena ini… sangat tidak selesa, sangat panas. Ini janji mereka, katanya hanya enam bulan tapi sekarang sudah lebih dua tahun. Kami bukan pendatang asing, kami rakyat Sabah. Tolonglah bantulah kami,” ujar beliau.

Seorang lagi penghuni di rumah kontena, Amisah Baharon, 63, turut meluahkan betapa siksanya dua tahun terpaksa menetap di dalam rumah kontena.

“Kami sudah lama bertahan, sudah lama tunggu untuk rumah. Bukan kami minta rumah besar yang sempurna. Saya sudah tua… kalau mahu pergi tandas pun jauh di sini. Wakil rakayt telah lama berjanji mahu beri rumah, tapi sekarang jenguk kami pun sudah tidak ada.

“Kalau tidak mampu beri rumah, buatkan kami jambatan, itupun sudah cukup,” ujarnya.

Erni Larnain, 53, turut menyuarakan rasa kecewa dengan janji palsu kerajaan pimpinan Warisan.

“Kami sudah lama tunggu rumah… katanya peruntukan sudah ada untuk buat jambatan tapi kami tidak faham kenapa tidak buat. Kami ada simpan rakaman bukti yang mengatakan peruntukan sudah ada.

“Apa daya kami, mentang-mentang kami miskin… kalau mereka boleh merasa tinggal di sini… satu hari pun kami rasa mereka tidak sanggup,” luahnya.

Bagi Saharon Siman, 50, dirinya amat berharap kerajaan mampu untuk membina jambatan yang turut terbakar dahulu kerana jambatan tersebut mampu menyelesaikan masalah rumah mereka.

“Saya harap sangat kerajaan bantu kami, terlalu siksa kami di sini. Cubalah duduk di sini baru mereka tahu dan faham siksa kami,” ujarnya.

Awang Saidin Saharon, 55, hampir tidak mampu berkata-kata bagi meluahkan kekecewaannya dengan janji yang pernah dibuat oleh kerajaan untuk membantu mereka.

“Susah mahu cakap… terlalu siksa. Keadaan rumah amat teruk… tidak ada pemantauan. Janji Warisan hanya tinggal janji. Kalau boleh kami harapkan rumah, sekurang-kurangnya buatlah jambatan untuk mudah kami bina pondok,” ujarnya.

Seorang lagi penghuni kontena, Basarah Basah, 35, turut melahirkan rasa kecewa dengan sikap kerajaan pimpinan Warisan yang seakan tidak peduli dengan nasib mereka.

“Kalau tidak mampu buat rumah, buatlah kami jambatan. Janganlah janji tinggal janji, kasihanilah kami,” ujarnya.

You might also like